Azab Kubur

Kuburan... di mana kita bakal disemadikan - tinggal sendirian!

Riwayat daripada Rasulullah saw tentang azab kubur maka jawab Rasulullah saw;

“Ya. Azab kubur itu memang benar.”

Berkata A’isyah r.a;

“Tiadalah selepas itu aku lihat Rasulullah saw selepas menunaikan solat melainkan minta berlindung daripada azab kubur.”  -  hadith sahih riwayat Imam Bukhari

Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi saw bersabda tentang mayat kafir dan munafiq di dalam kubur mereka:

“Dan dipukul akan mayat itu dengan pemukul daripada besi dengan satu pukulan. Maka bertempik mayat itu dengan satu tempikan yang mendengar akan dia oleh sekelian yang di sisinya melainkan jin dan manusia.”  -  hadith sahih riwayat Imam Bukhari

Daripada Abi Ayyub r.a. bahawa suatu hari Nabi saw terdengar satu suara lalu baginda bersabda;

“Mayat Yahudi yang sedang diazab di dalam kuburnya.”  -  hadith sahih riwayat Imam Bukhari

Daripada anak perempuan bagi Khalid bin Said bahawa dia telah mendengar
“Nabi saw berdoa memohon perlindungan daripada azab kubur.”  -  hadith sahih Riwayat Imam Bukhari

Daripada Abi Hurairah r.a. beliau berkata;

“Adalah Rasulullah saw berdoa:  Ya Allah! Sungguhnya aku minta berlindung dengan Engkau daripada azab kubur dan azab neraka..”  -  hadith sahih riwayat Imam Bukhari

Dari Ibn Umar r.a. adalah Rasulullah saw bersabda;

“Sesungguhnya Allah swt tidak mengazab akan mayat dengan sebab mengalir air mata atau dengan sebab bersedih hati tetapi mengazab Ia akan mayat dengan sebab lidah ataupun mengasihani.”  -  hadith sahih riwayat Imam Muslim

Dari Syu’bah r.a. beliau berkata;

“Telah turun ayat 45 Surah Ghafir berkenaan azab kubur.” -  hadith sahih riwayat Imam Muslim

Daripada A’isyah r.a. bahawa Nabi saw bersabda;

“Bahawasanya azab kubur itu sesungguhnya memang benar.” -  hadith sahih riwayat Imam Muslim

Daripada Anas r.a. adalah suatu hari Nabi saw lalu pada kampung Bani Najjar maka tedengar ia akan satu suara dari satu kubur maka baginda pun bersabda;

"Bilakah ditanam akan tuan punya kubur ini”

Jawab para sahabat;

“Pada zaman jahiliyyah”

Maka Nabi saw bersabda;

“Jikalaulah tidak kerana ia ditanam nescaya telah aku minta supaya Allah perdengarkan kamu sekelian akan azab kubur.”  -  hadith sahih riwayat Imam Muslim

Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Nabi saw bersabda;
\
“Sesungguhnya mayat itu diazab di dalam kuburnya.”  -  hadith sahih riwayat Imam Muslim

Daripada A’isyah r.a. berkata kepada Nabi saw bahawa dua orang tua Yahudi berkata adalah ahli kubur itu diazab di dalam kubur mereka itu. Maka Nabi saw pun bersabda;

“Benarlah kata mereka berdua. Sungguhnya mayat-mayat itu diazab di dalam kubur mereka sehingga mendengar akan dia oleh sekelian binatang.”  -  hadith sahih riwayat Imam Muslim

Daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw bersabda;

“Apabila selesai kamu daripada membaca tasyahhud akhir maka hendaklah kamu minta berlindung dengan Allah swt dari empat perkara iaitu dari azab neraka Jahannam dan dari azab kubur dan dari fitnah hidup dan fitnah mati dan dari fitnah Dajjal.”  - hadith sahih riwayat Imam Muslim

Daripada Ibn Abbas r.a. berkata;

“Bahawasanya Nabi saw mengajar akan mereka itu akan doa ini seperti mana baginda mengajar mereka itu akan Surah dari Al-Quran iaitu “Wahai Allah! Sungguhnya aku memohon berlindung denganMu daripada azab Jahannam dan daripada azab kubur dan daripada fitnah hidup dan mati dan daripada fitnah Al-Masih Dajjal.”  -  hadith sahih riwayat Imam Muslim

Daripada Anas Bin Malik r.a. bahawasanya Nabi saw bercerita tentang mayat kafir didalam kubur;

“Kemudian dipukul akan mayat tersebut dengan satu pemukul daripada besi pada antara dua telinganya.”  -  hadith sahih riwayat Imam Muslim

Maka jelas daripada segala hadith-hadith yang sahih ini bahawa azab kubur memangnya benar dan sekelian orang Islam wajib mempercayainya dan orang yang mengingkarinya adalah sesat dan terkeluar dari agama Islam.
Al-Imam Al-Qadhi ‘Ali Ibn Abi Al’Izz Ad-Dimasyqa pada Kitab Syarah Thahawiyah juz 2 m.s. 578;

“Dan telah mutawatirlah segala hadith dari Rasulullah saw pada sabitnya azab kubur dan nikmatnya dan soal dua malaikat. Maka wajib beri’tiqad akan sabitnya yang demikian itu.”

Allah Taala menjelaskan di dalam Al-Quran bahawa Dia berkuasa menghidupkan segala yang telah mati sama ada elok jasadnya atau sudah hancur.

Pada ayat 259 Surah Al-Baqarah Allah berfirman;

“Dan lihatlah kepada tulang-tulang keldai itu bagaimana Kami menyusunnya semula kemudian Kami balut akan dia dengan daging.”

Yakni Allah swt hidupkan semula keldai yang telah mati yang berselerak tulang-tulangnya. Ini sebagai bukti yang jelas Allah berkuasa menghidupkan kembali segala yang telah mati walaupun dalam keadaan hancur.

Dan pada ayat 260 Surah Al-Baqarah Allah swt memperlihatkan kepada Nabi Ibrahim a.s. bagaimana Dia berkuasa menghidupkan burung-burung yang telah mati dicincang hingga lumat, iaitu firmanNya;

“Wahai Ibrahim! Ambillah empat ekor burung dan engkau cincang burung-burung itu hingga lumat dan engkau hantarkan tiap-tiap juzuknya yang hancur itu di atas puncak bukit. Kemudian burung-burung itu Aku hidupkan dan datang kesemuanya berterbangan kepadamu dengan segera. Ketahuilah bahawasanya Allah swt Maha kuasa dan Maha bijaksana.”

Dan banyak lagi ayat di dalam Al-Quran yang menceritakan bagaimana Allah menghidupkan mayat-mayat yang telah hancur dengan kekuasaanNya.

Dan pada m.s. 579 Al-Imam Al-Qadhi ‘Ali Ibn Abi Al’Izz Ad-Dimasyqa pada Kitab Syarah Thahawiyah berkata;

“Dan ketahui olehmu bahawa azab kubur itu adalah azab barzakh. Maka barang siapa yang telah mati maka mustahaklah bagi azab yang tertentu baginya sama ada dikuburkan atau tidak dikuburkan yang memakan akan dia oleh binatang buas atau hangus terbakar sampai menjadi abu atau diterbangkan pada udara atau disalib atau tenggelam dilaut nescaya sampailah kepada ruh dan jasadnya daripada azab sebagaimana yang sampai kepada mayat yang dikuburkan.”

Sekelian ulama Ahlu Sunnah wal Jamaah telah sepakat bahawa barang siapa yang tidak percaya Allah Taala berkuasa menghidupkan semula orang-orang yang telah mati maka adalah ia sesat dan kafir.