Tariqat: Jalan Menuju Allah

Ketahuilah wahai sekelian sahabat yang budiman bahawasanya permulaan jalan menuju kepada Allah swt itu ialah sabar dan kesudahannya syukur. Ada permulaannya siksa dan kesudahannya gembira; permulaan yang sukar dan kesudahannya terbuka semua pintu, tersingkap segala rahsia dan tiba ke kemuncak cita-cita dan harapan - iaitu ma'rifatullah, sampai ke hadrat Allah swt, bermesra-mesra dengan berada di sisiNya bersama sekelian para malaikatNya.

Sesiapa yang mengiringkan (menjalankan) kesemua urusannya dengan sabar yang elok dan manis, nescaya akan memperoleh segala kebaikan, akan sampai kepada semua cita-cita dan tujuan serta berjaya mencapai segala maksud yang dituntut.

Melakukan segala urusan dengan sabar

Kategori Nafsu

Ketahuilah kita bahawa nafsu itu pada mulanya ammarah bis-su', yakni menyuruh berbuat yang jahat dan melarang daripada yang baik. Jika seseorang itu menentangnya dengan sabar dan melawan kesemua tuntutan hawa nafsunya maka bertukarlah ia kepada nafsu lawwamah. Ia adalah nafsu yang mencela kejahatan, dengan satu muka ke darjat mutma'innah dan muka yang lain ke darjat ammarah; sekali ia menyuruh berbuat jahat dan sekali lagi menyuruh berbuat baik.

Jika seseorang itu seterusnya mendapat taufiq dari Allah swt lalu memimpin nafsunya ke jalan Allah Taala dengan pimpinan yang penuh kecenderungan kepada apa yang ada di sisi Tuhannya, maka ia bertukar lagi ketika itu menjadi mutma'innah. Ia menyuruh kepada berbuat baik dengan merasakan penuh kemesraan dan kelazatan, serta melarang membuat jahat sambil merasakan kebosanan dan kebencian.

Bagi orang-orang yang memiliki nafsu mutma'innah ini akan berasa takjub dan hairan apabila melihat sesetengah manusia yang mengabaikan ketaatan kepada Allah swt. Padahal dalam ketaatan itu terisi perasaan mesra, kelapangan dada dan kelazatan. Sedangkan bagi mereka yang cenderung melakukan maksiat dan menurut kehendak nafsu syahwat - di mana sewaktu dalam kemaksiatan itu terisi perasaan duka-nestapa, pahit-getir dan rasa ketidak-tenteraman!

Bagi orang yang telah mencapai nafsu mutma'innah itu menjangka bahawa mereka itu tentu telah mencapai dan merasakan kedua-dua keadaan berkenaan sebagaimana dia pernah mencapai dan merasainya sendiri. Kemudian dia akan kembali menyelidiki akan dirinya sekali lagi dengan mengingatkan dirinya bahawa segala yang pernah dirasai sebelum itu, iaitu ketika mengecap kelazatan dalam menurutkan kehendak hawa nafsunya, dan ketika dia merasakan pahit-getirnya dalam menjalankan ketaatan maka barulah dia sedar bahawa dia tidak sampai ke tingkat di mana dia sedang berada di waktu itu - melainkan sesudah dia melalui satu perjuangan yang panjang dan percubaan yang berat daripada Allah swt.

Oleh yang demikian wahai sahabat yang budiman sekelian, ketahuilah bahawasanya sabar dalam menjauhi maksiat dan meninggalkan kesemua kehendak syahwat, dan sabar dalam melazimkan diri untuk mengerjakan ketaatan itulah yang bakal menyampaikan kita kepada segala rupa kebaikan, dan yang akan menjamin bagi diri masing-masing memperoleh kedudukan yang mulia dan keadaan yang istimewa di sisi Allah swt.

Firman Allah swt;
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan sempurnakanlah kesabaran itu dan perteguhkanlah kekuatan kamu serta patuhlah kepada Allah, moga-moga kamu beruntung."  -  Ali-Imran: 200

FirmanNya lagi;
"Telah sempurnalah perkataan yang baik dari Tuhan untuk anak-anak Israel disebabkan kesabaran mereka."  -   Al-A'raaf: 137

FirmanNya lagi;
"Dan Kami jadikan di antara mereka itu beberapa pemimpin yang akan memberikan pimpinan dengan perintah Kami, apabila mereka bersabar, dan mereka yakin kepada keterangan-keterangan Kami."  -  As-Sajdah: 24

Sabda Rasulullah saw;
"Di antara kurnia-kurnia yang sangat sedikit diberikan kepada kamu ialah sifat yakin dan keteguhan dalam sabar."

Apabila seseorang mukmin telah memperoleh nasib yang cukup dari kedua-dua sifat tersebut, yakni keyakinan dan kesabaran nescaya dia tidak akan peduli (berasa kesal lagi) seandainya ada yang terluput dan terlepas daripada bangun di tengah malam ataupun berpuasa di siang hari.